Di Petik dari Utusan Malaysia, Khamis 12 Jun 2008
KOTA BHARU 11 Jun - Biar pun jumlah pengguna radio amatur tidak ramai iaitu kira-kira 300 pengguna berlesen di negeri ini tetapi ia berkembang agak pantas dan menjadi hobi yang popular pada masa kini.
Malah sejak tahun lepas, beberapa persatuan radio amatur ditubuhkan hampir di setiap daerah di negeri ini seperti Kelab Radio Amatur Kota Bharu (ARKB).
Presiden ARKB, Sydina Abidin Abdullah berkata, kelab tersebut ditubuhkan pada penghujung tahun lepas dan kini sedang giat untuk mengumpulkan ahli-ahli yang berselerak di negeri ini.
Katanya, ramai yang tidak memahami kegunaan sebenar radio amatur dan kebanyakannya hanya beranggapan untuk berkomunikasi semata-mata.
"Secara umumnya, radio amatur merupakan perkhidmatan radio komunikasi bagi tujuan latihan diri, interkomunikasi dan penyiasatan teknikal yang dikendalikan oleh pemegang lesen radio amatur.
"Malah dengan pembelajaran yang berterusan radio amatur boleh juga digunakan bersama Internet untuk meluaskan lagi penggunaannya.
"Kini, radio amatur merupakan hobi yang semakin popular dengan dianggarkan pengendalinya melebihi enam juta orang di seluruh dunia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sydina Abidin berkata, hobi radio amatur tidak memerlukan kos yang tinggi dan ianya amat berpatutan dengan faedah yang diperoleh penggunanya.
Katanya, kos untuk sebuah radio bersaiz telapak tangan yang baru mungkin sama harganya dengan sebuah televisyen bersaiz 14 inci iaitu di sekitar RM400.
"Bagi sebuah radio yang besar pula kosnya adalah sama dengan sebuah komputer, jadi ia tidak terlalu mahal, melalui hobi ini kita boleh menambah kenalan dari seluruh dunia.
"Tetapi hanya mereka yang telah diperakukan boleh mengendalikan sesuatu alat radio amatur, bagi mendapatkan sijil perakuan ini tidak terlalu susah syaratnya ialah warganegara Malaysia dan berusia lebih 14 tahun serta lulus ujian," katanya.
Menurutnya, untuk peringkat asas sesorang itu perlu lulus ujian kefahaman radio bagi mendapatkan sijil perakuan kelas B manakala peringkat pertengahan mereka harus ujian kod morse dan ujian-ujian teori serta radio bagi mendapatkan sijil perakuan kelas A.
Kata beliau, kedua-dua sijil tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia selepas lulus ujian yang diadakan.
"Lebih menarik pengguna radio amatur mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan diri di udara, kesemua mereka diberikan satu nama panggilan atau callsign yang terdiri daripada abjad dan nombor yang mewakili kawasan pemanggil.
"Sebagai contoh, 'callsign' untuk saya ialah 9W2SYD atau sebutannya nine whiskey two sierra yankee delta," katanya.
Beliau berharap lebih ramai penduduk di negeri akan menjadikan radio amatur sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.
Katanya, pengunaan komunikasi radio amat penting ketika berlaku bencana seperti banjir besar atau gempa bumi.
"Ketika banjir besar pada penghujung tahun lepas, ARKB telah dijemput oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk bersama-sama membantu menyelaraskan bantuan.
"Kami ditempatkan di bilik gerakan kecemasan kerajaan negeri ketika itu kerana sistem komunikasi terutama telefon bimbit di kawasan Rantau Panjang terputus sama sekali akibat banjir besar," katanya.
Tambahnya, ia jelas menunjukkan hobi tersebut akan menjadi penting pada masa kecemasan kerana ia boleh digunakan di mana sahaja tanpa mengira faktor muka bumi atau masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan